Hak Jagaan Anak

HADHANAH: Bagaimana Status Hak Jagaan Anak Selepas Perceraian?

Isu Hadhanah atau hak jagaan anak sering timbul apabila berlakunya permasalahan rumah tangga atau perceraian di antara pasangan suami dan isteri. Perebutan hak jagaan anak sama ada di antara ibu dan bapa kandung atau pihak ketiga seperti ahli keluarga yang lain adalah sukar untuk diselesaikan dan sering memberi kesan bukan sahaja kepada pasangan tersebut, malah turut memberi kesan kepada anak tersebut sama ada secara fizikal atau mental.

Selepas berlakunya perceraian, persoalan yang sering timbul adalah siapakah yang akan mendapat hak jagaan anak, apakah hak bagi pihak yang tidak mendapat hak jagaan, berapa lama tempoh penjagaan dan sebagainya.

Alangkah indahnya jika selepas berlaku perceraian, ibu dan bapa kandung kepada anak tersebut boleh berbincang berkenaan hak jagaan anak, nafkah anak dan perkara yang melibatkan kebajikan dan kepentingan anak tersebut secara bersama. Namun realitinya tidak semudah itu. Pihak-pihak akan bertengkar dan berebut hak jagaan anak tersebut sehingga menyebabkan tekanan kepada kedua-dua pihak dan keluarga mereka, namun mereka sering terlupa bahawa perebutan dan pertengkaran terebut juga pada masa yang sama akan memberikan tekanan dari segi emosi dan fizikal kepada anak tersebut.

Hukum Syarak dan Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia telah memperuntukkan berkenaan undang-undang serta garis panduan hak jagaan anak dan dengan jelas menyatakan bahawa kebajikan, kepentingan dan kemahuan anak didahulukan berbanding kepentingan ibu bapa.

    Merujuk kepada Seksyen 82 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, ibu kandung adalah paling layak untuk mendapat hak jagaan anak selagi mana ibu kandung tersebut tidak hilang kelayakan sebagai penjaga. Sebab yang membolehkan ibu kandung hilang kelayakan berdasarkan Seksyen 84 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 ialah:-

  1. Jika dia berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk penjagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan.
  2. Jika dia berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka.
  3. Jika dia menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu dari menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu.
  4. Jika dia murtad.
  5. Jika dia mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.

Ketetapan ini menggambarkan penekanan Undang-Undang Keluarga Islam terhadap kebajikan anak tersebut dan bukannya pemilikan ibu bapa terhadap anak tersebut.

    Apabila ibu kandung kepada anak tersebut telah hilang kelayakan, hak jagaan tersebut akan berpindah kepada salah seorang berikut mengikut susunan keutamaan yang diperuntukkan dalam Seksyen 82 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003:-

  1. Nenek sebelah ibu hingga ke atas;
  2. Bapa;
  3. Nenek sebelah bapa hingga ke atas;
  4. Kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
  5. Kakak atau adik perempuan seibu;
  6. Kakak atau adik perempuan sebapa;
  7. Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
  8. Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu;
  9. Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;
  10. Emak saudara sebelah ibu;
  11. Emak saudara sebelah bapa;
  12. Waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai ‘asabah atau residuari.

Merujuk kepada Seksyen 85 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, tempoh hak jagaan bagi seorang kanak-anak itu tamat apabila anak tersebut mencapai umur mumaiyyiz iaitu tujuh (7) tahun bagi lelaki dan umur sembilan (9) tahun bagi anak perempuan. Setelah tamatnya hak penjaga tersebut, penjagaan adalah turun kepada bapa dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu adalah berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada dengan ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.

Namun berlainan bagi hak jagaan anak bagi anak tidak sah taraf di mana hak jagaan anak tersebut adalah milik mutlak ibu kandung dan saudara mara sebelah ibu menurut Seksyen 86 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Walaupun hak jagaan ini telah diperuntukkan dengan jelas dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, namun pihak-pihak masih perlu membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah dan merekodkan hak tersebut sebagai Perintah Mahkamah. Tujuan Perintah Hak Jagaan ini adalah bagi memastikan hak kedua-dua pihak iaitu ibu dan bapa kandung terhadap anak tersebut terjaga dan tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak.

Adalah penting untuk kedua-dua pihak mendapatkan nasihat dan fahaam berkenaan hak mereka dalam peruntukkan undang-undang berkenaan hak jagaan anak agar hak mereka tidak dinafikan dan kebajikan serta kepentingan anak tersebut terjamin.

Share this article

Questions? We're here to help

Send Us Inquiries/ Message/ Feedback :